Saturday, 5 November 2011

Melahirkan Generasi Kritis Melalui Subjek Sejarah


Saya terpanggil untuk menulis mengenai subjek sejrah ini kerana saya mengambil subjek SEJARAH sebagai fokus saya. Bagi saya sejarah sangat penting dan tanpa sejarah kita tidak menegetahui asal-usul kita dan  bagi mengelak daripada berulang kembali sejarah yang telah berlaku. Bacalah ini MENGAPA SEJARAH PENTING???
Melahirkan generasi yang kritis sangat penting bagi sesebuah negara. Amat malang sekirannya sesebuah negara itu hanya mampu untuk melahirkan generasi kakak tua yang bijak (?) menghafal namun bodoh dalam menganalisis, mengkritik, mempersoal apa yang dihafal. Menghafal perkara yang mudah. Beruk juga boleh menghafal. Tikus apatah lagi. Apakah cukup bagi manusia untuk menjadi seperti beruk atau tikus? Tidak. Itu memang pasti. Jadi yang membezakan manusia dan beruk adalah kemampuan untuk mengkritik, menganalisis, mempersoal segala maklumat yang disumbat ke dalam kepala.
Jelas sekali hari ini sistem pendidikan kita lebih banyak melahirkan beruk dan tikus daripada melahirkan manusia. Kita ramai pelajar yang mendapat “straight A’s” namun gagal memahami sesuatu isu dengan berkesan. Kita kaya dengan kakak tua yang mampu menulis kembali apa yang tercatat dalam buku teks ke atas sekeping kertas. Ini semua hanya lah pencetus kepada kejatuhan Hadharah Malaysia yang dicintai.
Melahirkan generasi yang kritis adalah idaman setiap tamadun. Tanpa generasi yang kritis, mana mungkin penambahbaikan dapat dicapai. Kita tidak perlu kepada tukang ampu, tukang kipas yang mengiyakan segala idea, cadangan, buah fikiran. Tapi yang kita ingin kan adalah mereka yang akan mencari kekurangan kepada buah fikiran, idea, cadangan tersebut dan membantu kita memperbaik lagi idea tersebut.
Melalui tukang kritik lah kita dapat membaiki sesuatu. Kerana sesuatu yang perlu dibaiki adalah sesuatu yang ada kekurangan. Kekurangan hanya dapat dilihat oleh mereka yang kritis, tak mampu golongan pengampu untuk melihat kekurangan orang yang diampu.
Persoalan sekarang, bagaimana melahirkan golongan yang kritis?
Adalah menjadi satu kemestian bagi pelajar di sekolah untuk mengambil mata pelajaran Sejarah. Mata pelajaran sejarah adalah sangat penting dan berguna bagi para pelajar kerana memalui sejarah lah kita mampu untuk belajar dari kesilapan datuk nenek kita dahulu. Namun, adakah cukup sekadar tahu siapa yang menjajah, bila kapitan cina datang, apa yang dijarah oleh Belanda? Segala persoalan siapa, apa, bila adalah perkara yang boleh dihafal. Sesiapa pun boleh menghafal. Yang penting bagi kita adalah untuk mengajar kepada para pelajar, mengapa perkara itu berlaku. Mengapa, bukan siapa. Mengapa, bukan bila. Mengapa, bukan apa.
Melalui persoalan mengapa lah kita dapat mengetahui dengan jelas sesuatu perkara berlaku dan wujud dalam lipatan sejarah. Antara sebab wujudnya sindrom bosan dan benci akan sejarah dalam kalangan para pelajar adalah penekanan yang berlebihan terhadap fakta-fakta yang perlu dihafal. Nama tokoh, tempat kejadian, tahun peristiwa, semua membosankan para pelajar. Justeru, persoalan mengapa tentulah lebih menarik untuk pelajar kerana mereka tidak ditekankan untuk menghafal sebaliknya mereka lebih ditekankan untuk mengetahui kenapa sesuatu peristiwa itu berlaku.
Memang, penting juga untuk kita mengetahui nama, bila, apa. Namun, usah lah ditekankan sangat. Tak tahu siapa Tok Janggut tidak mengapa asalkan tahu mengapa orang Kelantan menentang British. Tak tahu bila perjanjian Pangkor ditandatangani tidak mengapa asalkan tahu mengapa ia ditandatangani.
Pelajar kita mesti diajar untuk menyelami maksud yang tersirat dalam sejarah kita. Mereka perlu ditekankan untuk mengambil tahu mengapa seseorang tokoh itu membuat sesuatu. Bukan sekadar tahu apa yang tokoh itu buat.
Setelah selesai penguasaan pelajar dalam mengapa sesuatu itu berlaku, kita perlu menekankan pula persoalan apa yang mungkin berlaku jika ianya tidak berlaku sebagaimana sejarah. Apa yang akan berlaku sekiranya British Military Administration tidak datang setelah Jepun menyerah kalah? Apa yang akan berlaku sekiranya Tunku Abdul Rahman membenarkan Parti Komunis Malaya menyertai politik? Persoalan ini dapat melahirkan pemikiran di luar kotak. Kemahiran berfikir untuk jangka masa panjang akan mampu untuk dipupuk.
Ini kerana apabila pelajar sudah benar-benar menguasi kemahiran ini, sudah tentu mereka akan mewujudkan dahulu persoalan mengapa mereka melakukan sesuatu dan apa berlaku jika mereka tidak melakukannya. Kemahiran “plan B” juga akan terbentuk sedikit demi sedikit.
Persoalan sebegini sudah tentulah lebih menarik dan dapat meluaskan lagi fikiran para pelajar. Jika sistem lama yang berteraskan bila, apa, siapa, para pelajar akan ditutup dalam kotak sejarah yang sudah berlaku dan tak mampu untuk diubah lagi. Tapi dengan sistem mengapa, pelajar dapat mebuat andaian dan meluaskan lagi fikiran mereka dengan mengaitkan sesuatu isu dengan isu yang lain.
Pengaplikasian sejarah dalam kehidupan juga akan lebih bermakna dengan pendekatan persoalan ini. Apa yang kita boleh aplikasikan dengan sekadar mengetahui nama tokoh, bila jambatan dibom dan sebagainya? Mengetahui maksud yang tersirat di sebalik sejarah itu lah yang akan menjadikan sejarah lebih bernilai.
Dengan adanya konsep mengapa ini, pelajar dapat mempersoal, mengkritik tindakan seseorang tokoh. Mereka dapat mengadakan perbincangan, diskusi ilmiah mengenai sesuatu peristiwa. Mereka akan mampu untuk memberikan pendapat mereka mengenai aksi seseorang tokoh. Apa yang berlaku jika tokoh itu buat begini, bukan begitu? Kenapa dia tidak ikut kata penasihat? Jika ikut sudah tentu jadi begini, bukan begitu. Ini lebih baik dan bakal melahirkan generasi yang mampu berfikir di luar kotak sejarah, bukan sekadar kakak tua yang terkurung dalam kotak sejarah.
Dari segi peperiksaan pula, para penggubal soalan perlu menyediakan satu soalan khusus untuk memberi ruang bagi para pelajar menzahirkan idea dan pendapat mereka mengenai sesuatu isu. Soalan sebegini tidak mampu dijawab sekadar dengan membaca buku teks. Sebaliknya kemahiran berfikir sangat penting kerana soalan sebegini memerlukan idea baru, bukan sekadar mengulang kembali cerita lama.
Soalan ini perlu dijadikan soalan wajib dan para pelajar perlu “score” soalan ini bagi membolehkan mereka mendapat A atau lulus dalam mata pelajaran tersebut. Jangan jadikan soalan ini soalan pilihan kerana sudah tentu para pelajar tidak mahu menjawabnya.
Kebebasan intelektual perlu diberikan kepada para pelajar dalam menjawab soalan ini. Biarkan mereka mengkritik, menggodam, menghentam tindakan seseorang tokoh asalkan ianya bersifat membina, bukan kritik, godam, hentam yang membabi buta. Persoalan mengapa yang dibincangkan tadi akan menyediakan para pelajar dalam menjawab soalan ini.
Bersikap kritikal bukan sikap yang buruk. Bahkan ianya sikap yang mulia kerana melalui kritikan lah kita dapat membaiki diri, keluarga, masyarakat dan negara. Justeru itu penting bagi kita menyediakan masyarakat yang bersikap kritikal dalam membina Hadharah Malaysia yang kita idamkan.
Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment